“Aku masih ingat, hari itu
sudah masuk hari ke-12 aku di negara orang. Tujuanku bercuti hanyalah untuk
menenangkan fikiranku yang selama ini kusut. Selama 12 hari itu aku cuma
menghabiskan masaku dengan berhibur, membeli-belah, dan makan. Mungkinkah
ketenangan ini yang kucari? Entahlah, aku masih ragu…..”
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Hari itu indah seperti biasanya. Cahaya matahari tegak memancar ke
arahku dan bumi Turki. Cerah. Tidak panas. Sedikit sejuk. Nyaman sungguh
kurasakan.
Aku tersenyum sambil menikmati roti bakar dan teh serbuk yang
suam-suam sahaja panasnya. Begitulah petangku berlangsung. Ya, itulah caraku
untuk menghabiskan masaku di hari yang ke 12 iaitu hari terakhir aku di sana
kerana pada malamnya, aku sudah mesti berada di Ataturk International Airport,
Istanbul untuk pulang ke tanah airku.
Aku ingat petang itu, dengan angin
yang mendayu sayu, membuatkan keadaan sekeliling terasa lebih nyaman. Tenang.
Selesa. Sambil melihat ombak pantai yang bergelombang di Sungai Bosphorus,
rasanya seperti dalam babak cerita Ombak Rindu. Hehe.
Aku terhenti dan fikiranku terbuai seketika. Terus aku berfikir,
“Inikah damai yang kucari selama ini?”.
Fikiranku mengatakan “Ya”, Tetapi hatiku pula mengatakan “Tidak”.
Aku jadi serba salah. Aku masih ragu-ragu. Aaaah nampaknya damai
yang kucari masih belum kutemui walaupun sudah jauh kupergi membawa diriku di
sini.
Aku cuba memikirkan jawapannya dan cuba berfikir di luar kotak.
Dalam hati aku mula tertanya, “Apakah maksud damai itu sebenarnya?”.
Hmm, yang aku tahu, pergi saja ke negeri orang dan fikiran akan
tenang. Ya betul. Tapi itu hanya untuk menenangkan fikiran.
Bagaimana pula dengan hati?
Jujur, selama 11 hari aku berada disana, hatiku belum merasakan
ketenangan yang sebenar. Masih tercari-cari di mana. Aku buntu bagaimanakah
caranya….
“Allahu Akbar! Allahu Akbar!...”
Laungan azan berkumandang terdengar dari sebelah sana, tidak jauh
dari pondok tempat aku bersantai. Sungguh, merdunya laungan itu. Mendayu-dayu.
Hatiku terpanggil mendengarkannya. Hati aku mengajak aku untuk pergi kesana…..
ke Masjid.
Masjid yang terkenal dengan bentuk
seni bina yang indah. Masjid Sultan Ahmad, juga dikenali sebagai Blue
Mosque yang terletak di Istanbul, Turki. Ya, dari masjid
itulah azan itu dilaungkan menandakan solat fardhu Asar sudah tiba.
Sejenak aku pun sampai di situ. Hatiku mula tersenyum sambil
menyapa syahdu,
“SubhanAllah…..”
Aku terpegun melihat rumah Allah yang sangat menawan hatiku.
Struktur bangunan masjid itu sungguh cantik dan unik. Sungguh berseni.
Betul-lah kata sahabatku itu, katanya “Turki sungguh terkenal dengan negara
yang kaya dengan kesenian..”.
Aku tersenyum dan meneruskan perjalananku untuk mengambil air
wudhu. Erggh. Aku mula gopoh. Tidak ingat bagaimana hendak berwudhu. Sungguh,
aku lupa bila kali terakhir aku mengambil air wudhu. Solat? Tidak perlu soal.
Aku mula sebak, terasa sungguh hina diri ini. Mujur ada hamba
Allah yang baru sahaja hendak mengambil wudhu di sisiku. Orang sana barangkali.
Lalu aku mengikuti caranya berwudhu. Aku mula rasa lega sedikit sekalipun hanya
sekadar taklid buta.
Selepas berwudhu, aku meneruskan lagi langkahku untuk pergi ke
ruangan solat sambil mengisi dan merapatkan saf-saf yang kosong kerana aku
teringat pesan seorang sahabat, katanya merapatkan saf itu termasuk dalam
kesempurnaan solat.
….......
Selesai saja mendirikan solat dan berdoa, aku mula tersenyum
lebar. Entah aku tidak tahu mengapa. Tambahan pula aku terdengar beberapa
jemaah yang hadir sedang membaca ayat-ayat agung iaitu Al-Quran dengan
merdunya. Hal itu membuatkan hatiku turut tersenyum lagi.
“Allahu Akbar…” aku menyapa lembut. Mungkin aku sudah tahu
jawapannya.
Selama 11 hari aku berfoya-foya dan tidak tentu hala tuju.
Kemudian, masuk hari terakhir iaitu hari ke-12, aku telah mendapatkan
jawapannya. Di situ, barulah aku mula terkesan dan merasakan ketenangan hati.
Persis kata orang, ‘Save
the best for the last!’. Demikian percaturan Allah kepadaku.
Aku pernah terbaca dalam satu penulisan,
“Kadangnya kita jauh mengembara untuk mencari ketenangan dan
kedamaian hati. Sanggup keluar duit beribu raban, namun masih juga belum
berjumpa dengan ketenangan dan kedamaian. Sama saja tiada ketenangan. Kosong.
Bertambah kusut adalah. Ternyata, bila difikirkan kembali, rupa-rupanya kita
lupa untuk melihat diri kita sendiri yang sebenarnya selama ini jauh dari
Allah…”
Masha Allah, aku setuju!
Moga kita terhindar dari perkara-perkara yang membawa kita jauh
daripada Allah Ta’ala. Moga Allah beri kita semangat untuk sentiasa beribadah
kepadaNya.
11 hari + 1 hari benar-benar telah mengubah hidupku. Terima kasih
Ya Allah. Terima kasih…
– Encik Nasir –
#Project12#CintaDanCahaya
Ulasan
Catat Ulasan