Ku mulakan cerita ini dengan
pengorbanan serorang wanita. Salah satu ujian terberat seorang wanita ialah
ketika melahirkan.
5 Pagi, Hari Sabtu. Seorang
wanita sedang bertarung nyawa, berhempas pulas, menahan kesakitan. Sakit,
sangat sakit. Selepas beberapa jam bertarung, wanita itu bernafas lega dan seorang
bidan yang bertugas mengangkat sosok bayi kecil sedang menangis. Tangisan itu
membuatkan wanita itu tersenyum bahagia. Alhamdulillah, aku selamat dilahirkan
dengan sempurna 27 tahun yang lalu. Wanita itu ialah syurgaku, ibuku.
Muhammad Nasrullah nama yang
diberi. Cantik nama itu. Memberi makna yang sangat luarbiasa. Nasrullah yang
membawa maksud penolong Allah.
Kini aku sudah meningkat dewasa. Sudah
mendirikan rumahtangga bersama seorang wanita yang aku cintai, Siti Aisyah. Mungkin
lebih tepat, sudah lebih matang. Matang dari segi pengalaman barangkali? Kerana
banyak ujian sudah ku lalui, suka duka pahit manis ku telan sendiri.
Ujian. Apakah itu ujian? Biasanya
kita dengar perkataan itu hanyalah disekolah. Ya, Ujian pertengahan tahun
contohnya. Itu juga ujian. Tapi bukanlah ujian itu yang aku maksudkan. Ujian
yang aku maksudkan itu ialah melalui sebuah cerita yang akan ku beritahu
selepas ini.
Sejak beberapa bulan yang lepas,
aku merasa hambar. Ada saja perkara yang ku fikirkan. Serabut setiap masa.
Fokus kerjaku hilang. Entah dari mana mulanya aku sendiri tidak tahu. Itu ini
ku lakukan, ada sahaja yang tidak kena. Aku rindu ketenangan dan kebahagiaan
yang sebelum ini pernahku miliki. Cahaya yang selama ini menyinari hidup ku,
sedikit demi sedikit menjadi suram dan akhirnya menjadi gelap.
Sebelumnya, hidupku dipenuhi
dengan kasih sayang. Kini aku mula merasakan kekosongan dalam diri kerana
peneman hidupku, penawar hatiku, cahayaku, ya isteriku tercinta telah
meninggalkanku seorang diri tanpa ku pinta.
Aku masih ingat lagi, hari
Selasa, diriku disibukkan dengan tugasan harianku dipejabat. Petang itu awan
kelihatan gelap sehingga membuatkan awan menangis. Hujan yang turun dengan
lebat sehingga membuatkan hatiku merasa sesuatu yang tidak enak, “Aah,
perasaan apakah ini?” ku katakan dalam hati, tanda diriku dilanda gelisah.
Aku terus meminta pertolongan dari Allah untuk menenangkan kegelisahan yang ku
alami sebentar tadi, “Ya Allah, lindungilah isteriku.” Lantas saja aku
berdoa, hatiku jadi sedikit tenang dan bersangka yang baik-baik saja. “Relax,
Nasrul, Relax, Allah kan ada.” Aku bermonolog.
Selang beberapa jam kemudian,
ketika aku duduk dimeja kerjaku. Telefon bimbitku berdering. Tertulis di skrin
telefon bimbit itu nombor yang tidak pernah ku kenali. Aku terus saja menjawap
panggilan itu. “Assalamu’alaikum, siapa bercakap?” ujarku. “Wa’alaikumussalam,
boleh saya bercakap dengan Muhammad Nasrullah bin Ibrahim suami kepada Siti
Aisyah?” Sususan perempuan suara itu jelas tersusun rapi tapi sedikit
cemas, lantas aku bertanyakan lagi, “Ya, Saya sedang bercakap, ada apa ya
puan?.” Perempuan dalam telefon itu terus sahaja bercakap, “Isteri tuan,
Siti Aisyah binti Hamid, telah pergi ke Rahmatullah sebentar tadi akibat cedera
yang teruk dibahagian kepala kerana terlibat dalam satu kemalangan awal petang
tadi.”
Aku terdiam tanpa kata setelah
mendengar kata-kata daripada seseorang yang aku percaya seorang jururawat yang
bertugas. Gementar jiwaku. Tangan dan kakiku terus sahaja menggigil dengan
kuatnya. Aku terkejut dan terus meninggalkan pejabat untuk pergi ke rumah sakit
tersebut.
Setibanya aku disana, ku lihat
ayah dan ibu sudah awal berada disana. Lesu ku lihat mereka. Mungkin juga mereka
merasakan apa yang aku rasa pada ketika itu. Lantas dari itu, aku cuba untuk
bertenang saja. Aku ingat lagi, aku masih mampu menyapa salam dan tersenyum
kepada ibu dan ayah, tapi senyuman itu tidaklah semanis dari sebelumnya. Itulah
senyuman paling pahit aku pernah lontarkan,
Sampai saja aku didalam bilik
itu, ku lihat wajah isteriku yang ku cintai, yang sebelum ini ku anggap separuh
nyawaku sudah terbujur kaku. Aku tertewas juga akhirnya, aku rebah dari
pangkuan ayahku. Air mataku mula membasahi pipiku. Pada saat itu, aku cuma mahu
menagis dengan sepenuh hati. Tiada lagi peneman hidupku untuk bergurau senda,
tiada lagi gelak tawa kami berdua, tiada lagi bintang hatiku yang akan
menegurku jika aku alpa, dan tiada lagi cahaya yang menerangi hidupku. Isteriku
telah pergi meninggalkanku buat selamanya.
Mungkin persoalan yang sebelumnya
aku sudah ada jawapannya, bila detik mulanya hidupku semakin hambar. Ya,
setelah isteriku meninggalkan aku.
Tapi sekarang, Alhamdulillah
dengan kekuatan yang diberikan, aku mula redha dengan ketentuan Allah, kerana
dunia ini hanya sementara, setiap yang kita milikki akan terpisah juga akhirnya.
Allah lebih menyayangi isteriku. Allah memberikan ujian paling berat kepadaku
dan Allah jugalah yang memberikan ketabahan hati ini.
Aku tidaklah setabah Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wassalam yang ketika masa hidup baginda, beberapa puteranya
telah pergi lebih awal dari baginda, malah isteri kesayangannya Sayydatina Khadijah
juga pergi lebih awal dari baginda. Tapi baginda tidak pernah mengeluh dan
percaya kepada Allah bahawa setiap ujian itu bukanlah melemahkan tapi
meneguatkan. Dengan cinta dan cahaya kekasih kita, Rasulullah Sallallahu
‘Alaihi Wassalam telah mengajarku untuk sentiasa bersabar dan mengikhlaskan
setiap apa yang telah terjadi. Moga-moga isteriku tenang disana dan ditempatkan
bersama orang-orang yang beriman. Amiin.
Jadi itulah ujian yang aku
maksudkan. Jika dibandingkan ujian ku dengan ujian kekasih kita, Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Berat lagi ujian baginda. Tetapi baginda tetap
tersenyum dan terus saja bersangka baik. Allahu, benarlah Rasulullah Sallallahu
‘Alaihi Wassalam itu adalah contoh tauladan yang baik buat kita semua. Ikuti
perintah Allah, contohi Baginda, taat kepada Ibu Bapa, berbuat baik kepada
masyarakat, Insha Allah kita akan selamat dunia dan akhirat.
Moga dengan cerita ini kita akan
lebih kuat dengan pelbagai rintang yang mungkin akan lebih berat menimpa kita
dimasa akan datang. Moga Allah permudahkan urusan kita semua. Aamiin Allahumma
Aamiin.
Ulasan
Catat Ulasan